KUALA LUMPUR, 15 April- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan operasi bersepadu terhadap penjaja warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa kebenaran di sekitar ibu negara, semalam.
Operasi yang menyasarkan kawasan Lorong Haji Taib 4, Chow Kit dan Jalan Berangan, Bukit Bintang itu dilaksanakan hasil pemantauan dan risikan pegawai penguat kuasa DBKL bagi mengenal pasti aktiviti perniagaan haram yang dijalankan.
Hasil operasi menyaksikan sebanyak 15 kes sitaan dilaksanakan serta-merta bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016, melibatkan 13 penjaja warga asing dan dua warga tempatan.
Selain itu, dua notis tawaran kompaun turut dikeluarkan ke atas premis yang menggajikan warga asing secara tidak sah di bawah UUK Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.
Seramai 41 warga asing terdiri daripada 30 lelaki dan 11 wanita telah dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut.
Semua barangan yang disita pula telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras bagi proses dokumentasi dan rekod.
DBKL dalam kenyataannya menegaskan bahawa pemantauan dan operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi-lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perniagaan tanpa lesen atau penjaja warga asing digalak untuk menyalurkan maklumat menerusi saluran rasmi DBKL yang disediakan.