fb fb fb fb fb

SKM N. Sembilan fokus tarik belia sertai koperasi

FOTO HIASAN

SEREMBAN, 16 April- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Sembilan menyasarkan peluasan keanggotaan koperasi dengan memberi tumpuan kepada golongan pekerja kilang dan belia di negeri ini.

Menurut Pengarah SKM Negeri Sembilan, Radiatul Fitri Dollah, pendekatan promosi koperasi akan diperluas, bukan sahaja di kawasan kampung dan masjid seperti kebiasaan, malah turut merangkumi kelompok belia yang mempunyai minat berbeza.

“Kita akan buat program promosi bukan sekadar di kampung atau kawasan masjid seperti biasa. Golongan belia contohnya, ada yang minat kepada aktiviti permainan digital.

"Jadi, kita sedang merancang penubuhan koperasi e-sukan (esports) di setiap daerah atau negeri, bersesuaian dengan minat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Peningkatan Imej SKM Negeri Sembilan yang berlangsung di Seremban.

Setakat 31 Disember 2024, Negeri Sembilan mencatatkan sebanyak 787 koperasi berdaftar dengan keanggotaan hampir 192,000 orang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE