fb fb fb fb fb

Datuk Seri Anwar menghadap Sultan Perak di Istana Kinta

IPOH, 2 Disember- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Kinta di sini.

Sesi menghadap itu merupakan yang pertama selepas Datuk Seri Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.

Kenderaan dinaiki Perdana Menteri memasuki perkarangan Istana Kinta pada pukul 10:50 pagi.

Ketibaan beliau disambut Ahli Dewan Negara Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

(Datuk Seri Anwar tiba di Istana Kinta untuk sesi menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah)

Selepas sesi menghadap tersebut, Perdana Menteri dijadual menyertai tinjauan mesra di Pasar Tanjung Rambutan bagi menzahirkan penghargaan kepada para pengundi dan penyokong beliau.

Datuk Seri Anwar juga akan melawat tapak Klinik Kesihatan Manjoi yang kini dalam proses untuk dibangunkan di Jalan Masjid, Kampung Masjid.

Beliau dijangka menunaikan solat Jumaat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati, kira-kira lima kilometer dari pusat bandar raya Ipoh sebelum menyertai kenduri rakyat yang diadakan di lokasi berkenaan.

Terdahulu Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada pukul 10:30 pagi.

Ketibaan beliau disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abd Rahim dan barisan kepimpinan negeri.

Media Baharu