JOHOR BAHRU, 16 Januari - Data projek lewat, sakit dan terbengkalai sedang diteliti sebelum dikemukakan kepada mesyuarat jawatankuasa pasukan petugas khas, bulan depan.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata usaha intervensi sementara dibuat sebelum intervensi yang dirancang kementerian dilaksana.
Katanya, komitmen KPKT tidak hanya kepada usaha menyelamatkan projek kerajaan malah projek swasta.

"Angka telah diumumkan oleh YB Menteri sebelum ini 389,327 cuma pada masa yang sama bila saya berkongsi isu rumah sakit dan terbengkalai ini maklum balas lebih meluas.
"Ini termasuk juga mungkin diusahakan peringkat kerajaan negeri dan peringkat agensi cuma rekod rasmi kita telah dapat tapi daripada jumlah tersebut kita rialistik ataupun munasabah berapa banyak projek yang boleh cuba diselamatkan tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni peniaga dan pengunjung pasar pagi Taman Pelangi, di sini.
Selain itu, tambah Akmal projek pembinaan perumahanan baharu pada masa akan datang akan memberi lebih tumpuan terhadap aspek ancaman haiwan liar.
Langkah itu susulan terdapat peningkatan laporan berhubung kehadiran haiwan liar seperti gajah di kawasan perumahan khususnya di luar bandar.
Justeru beliau berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam aspek berkenaan bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.
"Banyak juga yang dibangkitkan akhir-akhir ini melibatkan haiwan liar yang masuk ke kawasan perumahan, jadi kita perlu bekerjasama dengan Perhilitan untuk mengelak musibah lebih besar atau kecederaan sama ada di pihak penduduk mahupun haiwan liar itu sendiri," katanya.