fb fb fb fb fb

Dasar kawalan harga, subsidi ayam diteruskan - TPM Zahid

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 10 Januari - Kerajaan memutuskan supaya dasar kawalan harga dan subsidi ayam diteruskan sehingga satu dasar berkaitan mekanisme bersasar dimuktamadkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu antara syor yang dikemukakan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).

Jelas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, antara syor lain ialah meneliti mekanisme harga dua peringkat melibatkan minyak sawit mentah bagi kemasan botol dan paket.

(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi / FOTO FAIL)

"Koordinasi rentas agensi perlu dilaksana Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi meneliti penambahbaikan mekanisme pelaksanaan harga dua peringkat itu.

"Tindakan bertujuan memastikan sebarang keputusan tidak memberi implikasi besar kepada pihak terlibat sama ada di peringkat industri mahupun pengguna," katanya menerusi kenyataan, semalam.

Tambah Dr. Ahmad Zahid turut dikemukakan ialah syor supaya isu kos sara hidup ditangani dengan menggunakan polisi dan perundangan persaingan dalam memastikan pasaran dapat melindungi kepentingan pengguna daripada ancaman kartel dan monopoli.

Ini dengan memperbanyakkan jualan terus dari ladang oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Media Baharu