JOHANNESBURG, 22 November - Negara-negara boleh bertahan menghadapi kejutan global apabila dasar mereka kukuh, terselaras dan bersedia menghadapi tekanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia telah menyaksikan sendiri bahawa daya tahan bukan terbina secara kebetulan, tetapi terhasil daripada pilihan yang telah dikaji dengan teliti serta peraturan yang jelas.
“Dalam bekerjasama dengan negara-negara jiran Asia Tenggara kami bagi menangani kejutan tarif, tekanan rantaian bekalan dan perkembangan teknologi yang pesat, kami mendapati bahawa apabila dasar diselaraskan dan peraturan jelas, kesan daripada kejutan hanya berada di tahap minimum.
“Pengajarannya jelas, daya tahan datang daripada kesediaan bersama, bukan secara berasingan,” kata beliau semasa Sesi 1 Sidang Kemuncak Pemimpin G20, bertajuk “Inclusive and Sustainable Economic Growth Leaving No One Behind: Building Our Economies; the Role of Trade; Financing for Development; and the Debt Burden” (Pertumbuhan Ekonomi Inklusif dan Mampan Tanpa Ada Yang Ketinggalan: Membina Ekonomi Kita; Peranan Perdagangan; Pembiayaan untuk Pembangunan; dan Beban Hutang) di sini, pada Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pengajaran itu penting kerana gangguan seterusnya mungkin lebih sukar untuk diatasi.
"Kecerdasan buatan (AI) akan mencorakkan semula pasaran buruh yang mana sukar untuk ditandingi oleh institusi kita.
"Tanpa sokongan awal dalam peralihan ini, pekerja, terutamanya golongan muda, akan menghadapi perubahan ini sendirian," ujar beliau.
Tambahnya, sejarah menunjukkan bahawa apabila masyarakat tidak bersedia menghadapi globalisasi, mereka akan berdepan pelbagai isu termasuk gaji yang tidak berubah, kepercayaan yang terhakis dan kebangkitan politik yang lebih cenderung kepada rungutan.
"Dengan AI, ketidakstabilan menjadi risiko sebenar jika negara-negara memasuki peralihan ini tanpa sebarang persediaan. Ini akan menjadi salah satu cabaran penting pada era sekarang," kata beliau.
Tambah Datuk Seri Anwar lagi, untuk menghadapi cabaran tersebut, negara-negara mesti terlebih dahulu melengkapkan rakyat mereka, terutamanya golongan belia, untuk bergerak seiring dengan perubahan teknologi.
"Peluang untuk latihan dan jaringan keselamatan yang boleh terjamin adalah perlu, (manakala) firma kecil dan sederhana, yang menanggung sebahagian besar beban pekerjaan, (juga) memerlukan sokongan," kata beliau.
Kedua, kata beliau, perdagangan perlu terus kekal terbuka, stabil dan berasaskan peraturan.
"Di Asia Tenggara, kami mengukuhkan lagi perdagangan antarabangsa. Kita telah melihat bahawa pasaran yang terhubung dan peraturan yang jelas dan stabil telah mengukuhkan rantaian bekalan dan memberi keyakinan kepada firma untuk melabur," kata beliau.
Justeru, rantau itu berusaha mempercepatkan usaha memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN yang akan menetapkan piawaian umum untuk data, pembayaran dan perdagangan digital.
Ketiga, daya tahan global tidak boleh dibina berlandaskan fiskal yang lemah dan menyatakan banyak ekonomi membangun kini memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan untuk membayar hutang berbanding pendidikan atau pelaburan.
“Negara-negara memerlukan kapasiti untuk melabur sebelum berlakunya gangguan, bukan selepas ia berlaku. Bank pembangunan perlu bersedia untuk bertindak lebih pantas dan bekerjasama rapat dengan negara-negara untuk menyokong pelaburan yang membina daya tahan.
“Oleh itu, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan semua negara rakan bagi menghadapi cabaran ini dan membantu mengekalkan ekonomi global yang terbuka dan berasaskan peraturan yang memberi peluang yang saksama kepada rakyat kita untuk berkembang maju,” kata beliau.
