SINTOK, 22 November - Seramai 36 pelajar dan empat pensyarah pengiring Universiti Utara Malaysia (UUM) terkandas akibat banjir di Hatyai, Thailand.
Kesemua mereka daripada Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz TISSA-UUM yang berada di Hatyai, bagi mengikuti Program Pertukaran Budaya Malaysia-Thailand 2025.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan tugas Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed menegaskan keselamatan, dan kebajikan semua pelajar serta staf sentiasa menjadi keutamaan universiti.
"Pihak universiti sedang memantau rapat situasi tersebut dan berhubung secara berterusan dengan Konsulat Malaysia di Hatyai bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat disalurkan segera," kata beliau dalam satu kenyataan di sini.
Kesemua pelajar dan pensyarah pengiring berada dalam keadaan selamat dan mempunyai akses kepada keperluan asas.
Universiti tersebut turut meneliti langkah susulan yang perlu diambil bagi memastikan perjalanan program berkenaan dapat diteruskan atau diubah suai mengikut keadaan semasa.
"UUM turut menegaskan komitmennya untuk memastikan keselamatan warga universiti sentiasa terjamin, khususnya ketika berdepan situasi luar jangka di luar negara," kata beliau.
