fb fb fb fb fb

Dasar berkecuali ASEAN dipertahan, pastikan kestabilan serantau

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi Universiti Malaya, Dr. Juita Mohamad bercakap secara dalam talian ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia/RTM

KUALA LUMPUR, 6 November - Pendekatan berkecuali ASEAN dalam berdepan ketegangan geopolitik global perlu terus dipertahankan, meskipun wujud tekanan daripada kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China,

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi Universiti Malaya, Dr. Juita Mohamad berkata ASEAN harus kekal berprinsip dan tidak memihak kepada mana-mana blok bagi memastikan kestabilan serantau.

“Sejak dahulu lagi ASEAN tidak pernah memihak kepada mana-mana blok atau kuasa besar, dengan adanya pelbagai perjanjian baharu ini, saya amat berharap agar kita tidak dipaksa untuk memilih pihak,” katanya ketika ditemu bual menerusi dalam talian dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di sini.

Menurut Dr. Juita, dasar berkecuali itu sejajar dengan ideologi Malaysia serta semangat asas ASEAN yang menekankan perpaduan, kerjasama dan keamanan serantau.

Beliau turut menegaskan kekuatan sebenar ASEAN terletak pada kemampuannya untuk terus berdagang dan bekerjasama dengan semua pihak tanpa prejudis.

Sementara itu, Dr. Juita turut menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan Malaysia yang telah memainkan peranan penting dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan menonjolkan kecekapan diplomasi dalam hubungan antarabangsa.

“Keupayaan Malaysia menghimpunkan pelbagai pemimpin ASEAN dan juga antarabangsa ini merupakan suatu pencapaian yang besar dengan hospitaliti Malaysia yang terkenal di pentas dunia," katanya.

Beliau turut menegaskan kekuatan yang ada perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang utama seperti perdagangan, keselamatan siber dan alam sekitar sekali gus memastikan rantau ini kekal relevan di mata dunia.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ