fb fb fb fb fb

Dasar baharu dirangka bantu pekebun rugi tanaman diserang haiwan

(Foto fail bertarikh 12 Februari menunjukkan tanaman penduduk di Rancangan
Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, rosak akibat diserang tiga ekor gajah liar)

PUTRAJAYA, 24 Mei- Satu dasar baharu akan dirangka berhubung pampasan kepada pekebun dan pemilik tanaman yang mengalami kerugian akibat serangan haiwan liar.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perbincangan dibuat dengan pihak berkaitan termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhubung perkara itu.

Jelasnya, maklumat terperinci berhubung dasar itu penting bagi memastikan bayaran pampasan diberi kepada pihak yang tepat.

"Sekarang sebenarnya untuk kematian, kecederaan memang ada sedikit saguhati. Kalau yang disebabkan oleh haiwan liar membabitkan kematian atau kecederaan, yang menjadi isunya sekarang ialah apabila berlaku kerosakan pada tanaman.

"Kita tidak mahu bila berlaku kerosakan dan sebagainya, ia akan menyebabkan kemarahan orang ramai dan mereka ambil tindakan yang akan memberi kesan kepada hidupan liar,"katanya.

Penyelarasan dasar itu akan mengambilkira kedudukan kawasan tanaman sama ada terletak dalam kawasan hutan simpan atau dibangunkan dalam kawasan pertanian bagi memudahkan bayaran pampasan dibuat.

Pihaknya juga akan bekerjasama dengan kementerian lain bagi mencari penyelesaian konflik antara manusia dan hidupan liar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) serta Bicara Biodiversiti di Wisma Sumber Asli di Putrajaya.


(Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad)

Media Baharu