(Anwar Ibrahim)
PULAU PINANG, 16 Julai- Kerajaan akan menyedia dan menambah dana khas kepada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi mewujudkan platform dalam melatih pensyarah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk menjalin kerjasama dengan syarikat berprestasi tinggi seperti Petronas, Geely dan Proton.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suntikan dana berkenaan akan disegerakan dengan mengambil kira kepentingan pelaksanaan program terbabit terutama dalam meningkatkan keupayaan tenaga pendidik dan pelatih.
"Kalau kita nak tingkatkan mutu latihan peringkat akhir TVET, kita kena mulakan dengan tenaga pensyarah. Jadi kita ada rancangan memanfaatkan UniKL, sebab UniKL khusus (dalam) bidang itu (TVET) dan UniKL akan diselaras dengan beberapa syarikat.
"Saya akan mintak Proton, Gleely dan Petronas untuk bekerjasama dengan UniKL dan ada program latihan khas kepada pensyarah TVET. Kalau rencana (rancangan) kita mulakan tahun depan tetapi saya ingat kita kena percepatkan dalam masa singkat ini. Insya-Allah, saya minta MOF (Kementerian Kewangan) tambah dana untuk UniKL khusus melatih pensyarah TVET," katanya ketika menjawab soalan seorang peserta pada program Bicara Komuniti TVET sempena Ekspo TVET@KKDW 2023 di sini.
Sementara itu, Anwar berkata, kelengkapan pelajar TVET perlu diperkasa merangkumi bidang kemahiran yang menjadi tumpuan pasaran semasa.
Jelas perdana menteri, usaha tersebut memerlukan perubahan segera berdasarkan keperluan pelabur luar yang dilihat berminat dengan kemahiran tempatan.
Dalam masa sama, memastikan gaji minimum diberikan kepada graduan TVET sehingga RM2,000.
(UniKL)