IPOH, 18 Januari - Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan menyiasat gambar tular yang mendakwa berlaku aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kledang Saiong di Kuala Kangsar.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berkaitan aktiviti tersebut dan tidak menolak kemungkinan ia adalah gambar lama.
"Kalau betul saya nampak gambar lama, kalau betul ada cerita baharu maka Jabatan Perhutanan akan buat siasatan, kita kena tengok kesahihannya sebab betul atau tidak saya tidak pasti . Lesen dikeluarkan berasaskan kepada kelulusan yang dibuat oleh jawatankuasa hasil hutan, kalau tidak ada itu dianggap mencuri kayu" kata Saarani selepas menghadiri Program Doa Selamat dan Santai Bersama Menteri Besar Perak dan Penyerahan Kit Kebun Kita kepada petani, di sini.
Baru-baru ini tular beberapa gambar di kawasan hutan menunjukkan batang-batang pokok ditebang dan ditarah didakwa berlaku di Hutan Simpan Kledang Saiong.
Beliau berkata jika wujud pembalakan haram, tindakan undang-undang sewajarnya boleh dikenakan terhadap pihak terlibat.