KOTA BHARU, 29 Mei- Empat negeri yang bersempadan dengan Malaysia-Thailand iaitu Kedah, Kelantan, Perak dan Perlis dikenal pasti sebagai negeri tertinggi yang mempunyai masalah dalam mendaftarkan kelahiran anak, disebabkan perkahwinan yang tidak teratur.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias berkata, berikutan itu ia menjadi punca utama kebanyakan kanak-kanak yang dilahirkan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Jelas beliau, kebanyakan kes adalah membabitkan perkahwinan kedua atau lebih diluar negara tanpa kebenaran dan tidak mendaftarkan semula status perkahwinan mereka di dalam negara menyebabkan kesukaran untuk mendaftarkan anak-anak mereka sebagai warganegara.
Bagaimanapun, pihaknya sentiasa terbuka untuk membantu bagi melayakkan anak-anak yang dilahirkan turut dapat menikmati segala kemudahan disediakan kerajaan.
"Komitmen kita untuk membantu tetapi tetap ada hadnya. Hak untuk mendaftar itu adalah kepada umum, hak untuk mendaftar untuk mendapatkan apa-apa kelayakan."
"Daripada segi urusan JPN, JPN memang akan buat. Jadi, daftarlah perkahwinan sebab ia memberi kesan besar kepada taraf anak," kata Badrul kepada pemberita pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri kepada Afiq Aiman Muhamad, 22 tahun, yang terlantar sejak lebih 20 tahun lalu di Kampung Chenok, Kadok, di sini.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata JPN berperanan dalam merekodkan semua maklumat pemohon untuk membantu pasangan mendapatkan dokumen penting untuk anak mereka.
Dalam perkembangan sama, beliau sehingga Mei tahun ini, JPN sudah menerima lebih 22,000 permohonan dokumen pengenalan diri melalui program MEKAR di seluruh negara.