fb fb fb fb fb

Cuti Hari Pekerja dicemari pertempuran di Turki, Perancis

(Penunjuk perasaan memegang bendera dan melaungkan slogan semasa demonstrasi tahunan Hari Mei (Hari Buruh) di Istanbul, pada 1 Mei 2022/AFP)

ISTANBUL, 2 Mei - Polis dan penunjuk perasaan bertempur di Turki dan Perancis semasa perhimpunan Hari Pekerja semalam, ketika puluhan ribu orang berarak di seluruh dunia untuk menyokong hak pekerja.

Polis rusuhan Turki menahan berpuluh-puluh penunjuk perasaan di Istanbul, menekan sebahagian daripada mereka ke tanah dan mengheret mereka keluar dari perhimpunan itu, yang menurut pejabat gabenor tidak mendapat kebenaran.

Di Paris, perhimpunan bertukar menjadi ganas apabila bangunan dirosakkan dan sekumpulan belia bertempur dengan polis.

Menurut kesatuan sekerja, lebih daripada 200,000 orang menyertai demonstrasi di seluruh Perancis dan kebanyakannya aman.

1 Mei adalah cuti umum di kebanyakan negara di seluruh dunia.

(Polis dan penunjuk perasaan bertempur di Turki dan Perancis semasa perhimpunan Hari Pekerja semalam/AFP)

Perhimpunan di Eropah mencetuskan kontroversi paling banyak dengan penunjuk perasaan Turki berhimpun di Dataran Taksim Istanbul, kawasan yang sinonim dengan bantahan antikerajaan, melaungkan "hidup buruh dan kebebasan, hidup Hari Pekerja".

Menurut pihak berkuasa, kumpulan itu enggan bersurai dan 164 telah ditahan.

Perhimpunan yang diluluskan kerajaan di tempat lain di Turki berlangsung secara aman.

Di Paris, pendakwa raya memaklumkan 50 orang telah ditangkap.

Martine Haccoun, seorang doktor bersara berusia 65 tahun, memberitahu AFP beliau datang untuk menyertai bantahan di bandar Marseille untuk menunjukkan Presiden yang dilantik semula, Emmanuel Macron "bahawa kami tidak memberinya cek kosong selama lima tahun".

Beliau berkata ramai yang mengundi Macron semata-mata untuk menghalang pencabar sayap kanan, Marine Le Pen. -AFP

Media Baharu