fb fb fb fb fb

CUEPACS gesa kerajaan lihat semula tuntutan SSM




KOTA BHARU, 13 Februari- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan melihat semula tuntutan mengenai Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilihat sudah tidak relevan pada masa kini.

Menurut Presidennya, Datuk Adnan Mat, pendapatan penjawat awam masih lagi bawah garis kemiskinan dan masih jauh untuk mencapai sasaran menjadikan negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Perkara itu dilancarkan Perdana Menteri pada 27 November lalu untuk memastikan negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dengan pendapatan isi rumah RM10 ribu namun sistem saraan pada masa kini jauh terkebelakang.

"Kami mengharapkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang baru dilantik ini dapat melihat semula semua cadangan dan pandangan CEUPACS bagi tujuan memastikan sistem saraan yang baharu dapat diwujudkan dengan meletak sasaran gaji minimum RM1,800 dan kenapa kami letak jumlah itu kerana sekurang-kurangnya dengan angka minimum ini dicampur dengan COLA dicampur dengan imbuhan tetap perumahan dicampur imbuhan tetap perumahan awam boleh mencapai RM2,450 maknanya telah melepasi pendapatan garis kemiskinan RM2,208," kata Adnan.

Katanya, jika sistem saraan ini tidak diwujudkan, unjuran kenaikan gaji tahunan yang paling minimum adalah RM80 dan dalam tempoh tiga tahun kenaikan hanya bertambah RM240 dan masih di bawah garis kemiskinan amat sukar.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita pada sidang media Majlis Makan Malam Bersama Kepimpinan CEUPACS Kelantan di Pantai Cahaya Bulan, malam tadi.

Pada masa sama,pihaknya juga masih berharap agar kerajaan tetap menunaikan sebahagian daripada tuntutan yang disuarakan CEUPACS sebelum ini terutama kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Julai 2018 lalu.

Selain itu, tuntutan lain adalah gaji tambahan kepada guru gred DG56 serta COLA (kadar B bantuan sara hidup) tambahan sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana juga diperluas kepada penjawat awam Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, pihaknya tidak menaruh harapan terhadap tuntutan baharu iaitu sepanjang pandemik COVID-19 kerana membabitkan sentimen rakyat selain penjawat awam yang lebih terkesan.

Pihaknya berharap sekurang-kurangnya kerajaan melaksanakan beberapa perkara walaupun tidak kesemuanya namun ia sebagai tanda terima kasih dan tanda melunaskan janji pengumuman sebelum ini.

Media Baharu