fb fb fb fb fb

Cubaan warga asing masuk sempadan berjaya dipatahkan PPM

JOHOR BAHRU, 8 Mac- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menggagalkan cubaan masuk empat lelaki warganegara Indonesia ke Malaysia secara haram selepas masing-masing ditangkap di tepi Sungai Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, awal pagi semalam.

Komandernya, ACP Muhd Zailani Abdullah berkata keempat-empat lelaki berusia 35 hingga 50 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan pada pukul 12.15 pagi.

Sejurus ditahan, kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini.

Turut ditahan seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun, disyaki tekong darat kepada keempat-empat PATI tersebut.


(Warga asing dan tekong darat ditahan untuk soal siasat)

Pemeriksaan beg berjaya menjumpai selaras senapang angin yang dileraikan kepada lima bahagian bersama tiga bungkus peluru timah buatan sendiri dan tiga bilah sabit.

Suspek yang berasal dari Surabaya, Indonesia itu mendakwa senapang angin itu digunakan untuk tujuan memburu.

Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Senjata Api 1960, Akta Bahan Letupan dan Kakisan dan Senjata Berbahaya dan Akta Imigresen 1959/63.

Media Baharu