fb fb fb fb fb

Cubaan pindah LPG bersubsidi bernilai RM17,000 gagal

120 tong LPG bersubsidi ditemukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kulim bersama anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah

BALING, 14 November - Tindakan pantas pasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kulim bersama anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berjaya mematahkan cubaan memindahkan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke dalam tong LPG tanpa subsidi di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Keok Seon di Baling pada Selasa.

Pengarah KPDN Kedah, Muhamad Nizam Jamaludin dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi pada pukul 11.00 pagi itu dilakukan hasil maklumat risikan KPDN Alor Setar.

"Tiada individu ditemui di lokasi, dipercayai melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa. Pemeriksaan menemui 90 tong LPG 14 kilogram bersubsidi yang berisi serta 30 tong LPG 50 kilogram kosong.

"Berdasarkan susunan tong dan keadaan di lokasi, pihak tidak bertanggungjawab dipercayai sedang memindahkan LPG bersubsidi ke tong tanpa subsidi untuk dijual kepada sektor industri," menurut kenyataan itu.

Kesemua 120 tong LPG yang dianggarkan bernilai RM17,000 telah disita untuk siasatan lanjut bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Bagaimanapun KPDN akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan operasi melalui inisiatif KITA GEMPUR.

Dalam pada itu bagi sebarang aduan, pengguna boleh menyalurkan kepada KPDN untuk tindakan selanjutnya melalui saluran-saluran seperti berikut Portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my atau Call Centre 1-800-886-800 atau E-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Selain itu maklumat boleh dilaporkan menerusi aplikasi EZ ADU KPDN atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245 atau WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 atau Pejabat KPDN Alor Setar 04-7001745.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI