KUALA LUMPUR, 14 November - Golongan belia Sabah yang berumur 30 tahun ke bawah kini dilihat sebagai blok kuasa baharu yang mampu mengubah landskap politik Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Belia yang merangkumi sekitar 30 peratus daripada keseluruhan pengundi, kelompok itu bukan lagi angka demografi semata-mata, sebaliknya berpotensi menjadi 'Kingmaker' di kerusi-kerusi sengit seluruh negeri.
Felo Penyelidikan ILHAM Centre, Mujibu Abdul Muis berkata, pemerhatian terhadap politik Sabah dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini menunjukkan, pengundi muda tidak bersifat homogenus, malah mempunyai corak penyertaan yang sukar diramal.
"Pengundi belia di bandar lebih cenderung menilai isu-isu seperti tadbir urus kerajaan, rasuah, peluang pekerjaan dan kos sara hidup. Sementara itu, pengundi di kawasan separa bandar memberi tumpuan kepada pembangunan asas dan infrastruktur, manakala belia luar bandar masih terikat faktor lokaliti, personaliti kepimpinan parti dan sebagainya.
"Saya melihat 30 peratus itu agak 'fluid' agak cair dia tidak lagi terikat apa yang kita katakan kesetiaan tradisi dalam itu, kalau ini berlaku ia akan mencipta ruang untuk 'swing vote' terutamanya dalam pilihan raya Sabah yang sangat sengit dengan pakatan parti politik yang pelbagai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media hari ini.
Mujibu yang juga penganalisis politi berkata, dari aspek geografi, peningkatan kira-kira 30 peratus undi belia paling ketara di kawasan bandar dan bercampur seperti di Merotai Sandakan, Kota Kinabalu dan Tawau, kawasan yang lazimnya dimenangi dengan majoriti kecil.
Katanya, pengundi muda dijangka menjadi 'Kingmaker' bersifat kewilayahan, menentukan keputusan di kerusi-kerusi kritikal yang sering menjadi rebutan.
Selain itu, pengundi muda Sabah juga menunjukkan kecenderungan kepada politik yang lebih kritikal, progresif dan autentik, serta menolak retorik lama.
Mereka menilai tawaran politik berdasarkan isu ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan, kemudahan asas dan tadbir urus yang baik.
Beliau berpendapat, parti politik yang gagal menyesuaikan naratif dan tawaran mereka dengan tuntutan belia itu bakal menghadapi kesukaran untuk meraih undi kelompok tersebut.
Sokongan anak muda yang tidak lagi terikat kepada kesetiaan tradisi parti menjadikan mereka kumpulan paling sukar dijangka, sekali gus menjadi faktor penentu dalam PRU DUN Sabah dan berpotensi memberi kesan besar terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Melihat kepada landskap politik Sabah yang semakin dinamik dan kompetitif, semua parti kini dijangka memberi perhatian khusus kepada pengundi muda kelompok yang semakin jelas memainkan peranan sebagai penentu kemenangan dalam gelanggang politik negeri itu.