Cuaca panas hingga Jun: JBPM perketat operasi di kawasan ‘hotspot’

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 MacJabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggerakkan 344 balai bomba di seluruh negara bagi melaksanakan pelbagai program kesiapsiagaan, termasuk memastikan kekuatan anggota sentiasa berada pada tahap optimum susulan cuaca panas yang dijangka berlarutan hingga Jun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM kini mempunyai kira-kira 15,000 anggota bomba sepenuh masa dan 8,000 anggota bomba sukarela yang sedia digerakkan.
  • Pembekuan cuti dan pertimbangan jadual tugas 24 jam bagi memastikan keanggotaan mencukupi sepanjang musim panas.
  • Pemantauan diperkukuh di kawasan berisiko melalui rondaan fizikal, dron, unit udara dan kerjasama Jabatan Alam Sekitar serta MetMalaysia.
  • Orang ramai diminta menghentikan pembakaran terbuka kerana risiko kebakaran merebak cepat dan sukar dikawal.

JBPM kini memiliki kira-kira 15,000 anggota bomba sepenuh masa dan pegawai bomba bantuan, selain disokong 8,000 anggota pasukan bomba sukarela yang bersedia digerakkan pada bila-bila masa.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Nordin Pauzi berkata, jabatan itu turut melaksanakan pembekuan cuti bagi memastikan keanggotaan mencukupi dalam menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang musim berkenaan.

“Kita juga mempertimbangkan untuk mengadakan jadual baharu kepada balai-balai bomba di mana anggota perlu bertugas 24 jam berbanding dengan 12 jam amalan sekarang ini.

“Dalam konteks logistik dan juga aset jabatan bomba sentiasa menyiap siagakan dan memastikan logistik khususnya pam bomba, pam angkut dan kelengkapan pemadaman kebakaran sentiasa berada dalam keadaan yang boleh digerakkan pada bila-bila masa termasuklah aset udara helikopter,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.

Tambah beliau, JBPM memperkukuhkan strategi pemantauan di kawasan berisiko tinggi dengan mengadakan rondaan fizikal, khususnya di kawasan berisiko kebakaran seperti kawasan hutan, ladang, dan tapak pelupusan sampah.

Rondaan tersebut dijalankan di lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi bagi membolehkan pengesanan awal sebarang ancaman kebakaran.

Pihak JBPM turut memanfaatkan teknologi dron serta unit udara bomba bagi memantau kebakaran berskala besar.

Selain itu, kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dan MetMalaysia membolehkan pengesanan kawasan berisiko kebakaran melalui imej satelit.

Langkah berkenaan membantu anggota bomba menggerakkan pasukan dan logistik ke lokasi kebakaran sebelum api merebak dengan lebih luas.

Nordin turut menyeru orang ramai supaya menghentikan aktiviti pembakaran terbuka, sama ada untuk pembersihan ladang atau halaman rumah, kerana kebakaran terbuka pada musim panas ini berisiko merebak dengan cepat dan sukar dikawal.