KUALA PERLIS, 17 Mac- Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celcius akan berterusan untuk tempoh seminggu lagi.
Perlis kini antara 17 kawasan seluruh Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu atau berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian antara 35 darjah Celcius hingga 37 darjah Celcius.
Tinjauan RTM mendapati, orang ramai mengehadkan aktiviti luar rumah atau bangunan. Kebanyakan aktiviti dilaksanakan pada awal pagi atau lewat petang khususnya ketika bulan Ramadan ini.
Kebiasaannya aktiviti waktu pagi dilaksanakan sebelum 12.00 tengah hari, manakala di waktu petang antara jam 5.00 petang hingga 7.00 malam.
"Nasihat saya kepada ibu bapa, jangan biarkan anak-anak melakukan aktiviti di waktu tengah hari. Memang cuaca terlalu panas. Memandangkan sekarang dalam keadaan bulan puasa, kita memang tidak bokeh minum air pada siang hari. Ini akan menyebabkan air dalam badan kita akan berkurangan", kata penduduk Kampung Titi Tok Bandar, Mohamamd Darus.
"Memang betul-betul panaslah, 35 darjah celcius. Kadang itu, tengah hari tu memang haba dia begitu panas. Macam saya anak muda, petang-petang hendak pegi mengail, hampir pukul 7.00 baru nak teduhlah." kata penduduk Kampung Titi Tok Bandar, Muhammad Alif Ayob.
Keadaan cuaca panas yang melanda khususnya di kawasan utara semenanjung berlaku saban tahun dan langkah sewajarnya perlu diambil oleh orang ramai bagi mengelakkan berlakunya strok haba.