PUTRAJAYA, 28 Ogos -Aspek kesihatan dan keadaan cuaca menjadi antara faktor yang diberi perhatian dalam memastikan kelancaran raptai bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, di sini.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Encik Mohd Amran Mohd Haris berkata, penilaian itu diambil bagi menjaga kesihatan dan kebajikan semua peserta terlibat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengisian Program Sambutan Hari Kebangsaan 2025 memaklumkan, ia termasuk kontinjen dan pelajar bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Jelasnya, meskipun cuaca hujan pagi tadi, namun semangat para peserta kontinjen tetap tinggi meskipun jadual praraptai sedikit berubah.
"Daripada segi kesihatan dan kebajikan juga kita kena jaga dan pada hari ini kita dapati hujan agak lebat bermula 6.30 pagi tadi dan kita jangka raptai akan dilewatkan. Apa saya lihat semangat yang ditunjukkan peserta kontinjen memang tidak luntur dan walaupun semalam kita telah dapat lakukan sepenuhnya raptai pada 27 hari bulan, cuma dengan hari ini perkara di luar kawalan dan bermula lewat tapi kita doakan majlis dapat berjalan lancar," katanya kepada media, di sini.
Antara kelainan yang dibawakan pada sambutan kali ini termasuklah perbarisan kereta berhias melibatkan tujuh agensi dan persembahan Citra MADANI yang melibatkan hampir 1,000 penari berbilang kaum yang mencerminkan perpaduan rakyat Malaysia.
Hari ini merupakan praraptai kali kedua dan ia merupakan sebahagian daripada siri persiapan menjelang raptai penuh pada 29 Ogos nanti, sebelum sambutan rasmi Hari Kebangsaan ke-68 pada 31 Ogos.