(Foto Hiasan)
KUALA LUMPUR, 12 Jun- Sejumlah RM2.556 juta telah disalurkan kepada penerima Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19, setakat 31 Mei lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, daripada 319 permohonan yang diterima, 150 daripadanya telah diluluskan.
"Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19 layak diterima oleh pemohon yang merupakan penerima vaksin COVID-19...yang mempunyai kesan advers susulan imunisasi atau AEFI yang serius atau hilang upaya kekal serta waris penerima vaksin yang meninggal dunia," katanya.
(Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni)
Beliau menyatakan demikian ketika menggulung perbahasan Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin COVID-19 di Parlimen, di sini hari ini.
Lukanisman memaklumkan, sehingga 30 April lalu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menerima
26,717 laporan AEFI melalui Sistem Pelaporan NPRA.
Daripada jumlah itu, hanya tujuh peratus melibatkan kesan advers yang serius manakala majoriti iaitu 93 peratus lagi mengalami kesan advers ringan.
8.5 juta dos vaksin COVID-19 pelbagai jenama telah luput
Ketika menjawab perbahasan berhubung bilangan dos vaksin COVID-19 yang telah luput dan prosedur pelupusannya.
Lukanisman memberitahu terdapat 8.5 juta dos vaksin pelbagai jenama telah luput di fasiliti Kememnterian Kesihatan (KKM) dan gudang simpanan vaksin COVID-19, setakat 1 Jun lalu.
"Proses pelupusan dan pelaporan vaksin dalam simpanan dilaksanakan mengikut tatacara pengurusan aset dan tatacara pengurusan stor yang berkuat kuasa.
"Pemantauan status pelupusan juga dilaksanakan secara berkala," katanya.
Sementara itu, sebagai usaha mengurangkan lebihan vaksin COVID-19, KKM telah membuat tawaran kepada negara-negara luar.
Sejumlah 1.9 juta dos vaksin pelbagai jenama disumbangkan kepada negara seperti Bangladesh, Myanmar, Laos dan Bosnia Herzegovina.