fb fb fb fb fb

Malaysia sasar pelaburan ekonomi digital capai RM130 bilion menjelang 2025

LONDON, 12 Jun - Minggu Teknologi London yang menghimpunkan pemain industri digital dunia membuka tirai.

Tidak terlepas penglibatan Malaysia menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan diketuai Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Minggu Teknologi London yang berlangsung di Queen Elizabeth Two Centre dirasmikan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak.

Lebih 30,000 pengunjung dan pemain industri digital disasar hadir termasuk syarikat pemula dan pelabur.

Peluang dimanfaat negara selari inisiatif Malaysia Digital.

Penglibatan Malaysia dalam Minggu Teknologi London kali ini meneruskan kesinambungan daripada penyertaan pada edisi penganjuran tahun lepas.

Nilai pelaburan digital mencecah berbilion ringgit dijangka diraih menerusi penglibatan dalam sektor tumpuan inisiatif Malaysia Digital.

Beberapa peluang baharu dijangka diraih menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MDEC dengan UK-ASEAN Business Council dan International Data Center Authority yang bekerjasama dengan Commonwealth Enterprise and Investment Council.

Turut jadi perhatian, pengumuman pelaburan daripada 10 syarikat United Kingdom.

"Yang bagus bagi Malaysia yang kita lihat sekarang ini, banyak pelaburan yang masuk bersifat pusat proses data atau bidang perkhidmatan. Ini memberi kita satu peluang untuk jadikan Malaysia hub pusat proses data atau perkhidmatan," kata Fahmi, di sini.

(Fahmi Fadzil)

Dalam festival digital ini, Fahmi turut  mengadakan sesi meja bulat bersama tokoh  dan eksekutif perniagaan.  

Beliau juga dijadual menyampaikan ucaptama selain menjadi ahli panel forum.

Selaras kedudukan sebagai hub pelaburan teknologi digital strategik Malaysia menyasarkan sektor pelaburan ekonomi digitalnya mencapai RM130 bilion menjelang 2025.

Laporan disediakan Yunus Mohd Nor.

Media Baharu