fb fb fb fb fb

JKDM rampas 454 kilogram dadah dalam tiga serbuan

NILAI, 12 Jun- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 454 kilogram dadah bernilai hampir RM70 juta dalam tiga serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor dan Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, awal bulan ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata lebih 300 kilogram kokain dirampas di Pelabuhan Klang pada Selasa lalu selepas memeriksa sebuah kontena.

Siasatan awal mendapati kontena dari sebuah negara di Amerika Selatan itu dalam proses transit dan dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara di Asia Selatan.

Manakala 126.5 kilogram ketamin ditemukan dalam 15 kotak yang disita di Kompleks Kargo Udara KLIA, pada hari sama.

Sementara pada 4 Jun lalu, 25.3 kilogram ketamin yang disorokkan di bahagian belakang dinding sebuah kontena sejuk beku membawa makanan laut; dirampas.

Kontena tersebut disita selepas tiba dari sebuah negara Asia Selatan. Susulan itu, dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

"Kita menyeru orang awam memberikan kerjasama kepada JKDM dan PDRM menyalurkan maklumat berkaitan dengan sebarang penyeludupan dadah.

"Dan juga barang-barang lain seperti rokok, minuman keras, mercun, dengan menghubungi talian bebas tol kastam, 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang berdekatan," kata Zazuli.

(Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan)

Beliau berkata demikian pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat, Nilai, di sini.

Media Baharu