fb fb fb fb fb

COVID-19: Penggiat industri pelancongan terjejas masih berpeluang mohon bantuan khas

(Nancy Shukri/FB MOTAC)

JOHOR BAHRU, 7 Mac - Penggiat industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 masih berpeluang memohon bantuan khas kewangan daripada Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya.

Permohonan dibuka hingga 15 Mac ini dan bayaran bantuan khas kewangan itu akan dibayar dua kali, mulai bulan ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi kenyataan berkata bayaran kedua pula dijadualkan pada Mei depan.

"Bayaran sebanyak RM9,000 akan diberikan kepada Syarikat Pemandu Pelancong, Agensi Pelancongan dan Pengembara (TOBTAB) serta syarikat terlibat dalam program Malaysia My Second Home (MM2H).

"Manakala Spa dan Pusat Urut Kaki (PUK) akan menerima sebanyak RM3,000. Bagi pemandu pelancong mereka akan menerima sebanyak RM1,500 dan pengusaha Inap Desa (Homestay) sebanyak RM1,800," menurut kenyataan itu.

(FOTO BERNAMA)

Nancy sebelum itu menghadiri Program MOTAC bersama Pengiat Industri Dan Program Bicara Ilmu, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut melancarkan Kempen Jom Balik Kampung Homestay Malaysia anjuran Tourism Malaysia.

Kempen tersebut akan diperluas ke seluruh negara sebagai inisiatif meningkatkan pendapatan pengusaha inap desa yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Media Baharu