DUBAI, 2 Disember- Malaysia berharap komitmen konkrit dapat ditunjukkan semua negara terlibat pada perhimpunan COP 28 berhubung perubahan iklim.
Jelas Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, penyertaan Malaysia pada persidangan kali ini dimanfaatkan sebaiknya untuk berkongsi usaha negara berdepan cabaran tersebut.
Pavilion Malaysia di Expo City Dubai menjadi medan mengetengahkan peranan Malaysia memacu masa depan hijau, menggunakan pendekatan inovasi, amalan kelestarian selain kolaborasi strategik.
"Malaysia sedang merangka Strategi Pelepasan Rendah Jangka Panjang, selain Hala Tuju Penentuan Sumbangan Nasional (NDC), yang akan menjadi panduan komprehensif ke arah mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Malaysia juga merangka rang undang-undang perubahan iklim, tabung adaptasi kebangsaan dan juga membangunkan mekanisme pasaran karbon," kata Nik Nazmi ketika menyampaikan ucaptama pada perasmian hari pertama Pavilion Malaysia sempena COP 28 di Expo City Dubai.
Majlis disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena persidangan yang berlangsung hingga 12 Disember.