fb fb fb fb fb

Contohi semangat perjuangan pemimpin terdahulu - Anwar

Foto BERNAMA

BANDA HILIR, 20 Februari - Pemimpin masa kini dinasihat untuk mencontohi pemimpin-pemimpin terdahulu yang sanggup berkorban apa sahaja dalam memastikan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semangat perjuangan mereka wajar diteruskan pemimpin hari ini bagi memastikan kemerdekaan negara ini dapat terus dikekalkan.

Anwar turut mengingatkan semua pemimpin untuk tidak terpengaruh elemen negatif persis penjajah sebelum merdeka.

"Inilah komitmen kita sementara kita berasa terharu dan tersentuh hati nurani kita kerana kita adalah generasi yang kenang jasa. Kita tahu kita tak akan ada di sini mengecapi nikmat mereka kalau tidak kerana jasa tokoh-tokoh besar kita dahulu.

"Sanggup menggadai nyawa, harta benda untuk mencari kemerdekaan, mencapai kemerdekaan untuk negara kita.

"Ini juga peringatan kepada pemimpin-pemimpin yang memikul amanah sekarang supaya belajar daripada elemen dan ciri yang positif dan baik daripada mereka (pemimpin terdahulu) dan tidak terheret dengan amalan kerasukan, keangkuhan, kegelojohan, pegawai-pegawai penjajah", katanya demikian dalam ucapannya pada Ulang tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di sini.

Majlis berkenaan turut menampilkan waris tokoh-tokoh kemerdekaan antaranya cucu Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra, iaitu Tunku Muinuddin Putra, anak kepada Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, Datin Seri Zainun dan cucu kepada mendiang Tun V.T Sambanthan, Kunjari Sambathan serta cucu kepada mendiang Tun Tan Cheng Lock, Datin Paduka Tan Siok Choo.

Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan memupuk semangat perpaduan bahawa kemerdekaan tanah air adalah hasil kerjasama pelbagai kaum di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat dari pelbagai lapisan generasi juga perlu memahami prinsip perlembagaan untuk mengukuhkan semangat perpaduan. 

Tambah Anwar, perkara itu turut disebut dalam pidato Tunku Abdul Rahman yang terkandung di dalam Pengisytiharan Kemerdekaan.

"Dengar pidato Tunku Abdul Rahman dengar, teliti pengisytiharan kemerdekaan 31 Ogos selalu disebut Persekutuan Tanah Melayu.

"Disebut kedaulatan Melayu disebut bersamanya kerukunan hidup pelbagai kaum, pelbagai agama. Negara kita wajib kita pertahankan di negara merdeka yang tercinta Tanah Melayu dan kini Malaysia", jelas Anwar.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD