fb fb fb fb fb

Masjid dan surau perlu lebih kreatif anjur aktiviti pada Ramadan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 Februari - Pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid serta surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) disaran supaya lebih kreatif menganjurkan aktiviti sepanjang Ramadan bagi menarik kehadiran orang ramai khususnya golongan muda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata usaha itu bagi memastikan masjid dan surau di sekitar Wilayah Persekutuan dapat terus diimarahkan.

"Pengerusi masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ini untuk lebih kreatif untuk menarik minat, selama ini kita buat contohnya, iftar, sahur di masjid, itu sudah buat, cuma kena fikirkan aktiviti-aktiviti lain dalam bulan Ramadan selain daripada iftar jamaie dan juga sahur tadi itu untuk kita mengajak lebih ramai untuk datang ke masjid dan juga surau," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Ambang Ramadan dan pelancaran Aplikasi Dawanity anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di sini.

Tambah Mohd Na'im, usaha seumpama itu bukan sahaja dapat menyuntik semangat kepada umat Islam untuk menggandakan amalan malah mengeratkan ukhuwah masyarakat. 

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN