fb fb fb fb fb

'Coklat' RM2 juta bukan untuk Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR, 17 Januari- Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, diberitahu wang berjumlah RM2 juta yang diberikan kod nama ‘coklat’ yang didakwa diberikan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sebenarnya dibayar kepada pihak lain.

Peguam, Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim, berkata dua saksi pendakwaan iaitu Azli Adam dan Ibrahim Sahari, dalam perbicaraan kes tipu membabitkan ahli perniagaan, G. Gnanaraja, di Mahkamah Sesyen Shah Alam, mengesahkan wang berkenaan diberikan kepada orang lain.

Pada Prosiding itu, Gobind meminta mahkamah memainkan dua klip video berhubung keterangan Azli dan Ibrahim di Mahkamah Shah Alam.

Peguam itu berkata demikian ketika menyoal saksi pendakwaan kelapan iaitu pegawai penyiasat Jabatan Forensik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Mohd Firdaus Wan Yusof.

(Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tiba di Mahkamah Kuala Lumpur
bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya)

Bagaimanapun, permohonon berkenaan dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dengan alasan video itu tidak relevan dengan Wan Mohd Firdaus.

Hakim Azura Alwi juga mempersoal keperluan memainkan video berkenaan kepada Wan Mohd Firdaus kerana beliau hanya boleh memberi pandangannya berhubung video berkenaan.

Gobind kemudian memohon saksi berkenaan mengemukakan salinan perbualan WhatsApp antara Pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dengan Gnanaraja, pada 17 Ogos 2017 yang dipercayai mempunyai 'bukti' bahawa 'coklat' RM2 juta itu bukan untuk Guan Eng tetapi untuk orang lain.

Mahkamah mengarahkan saksi itu mengemukakan salinan perbualan WhatsApp berkenaan pada perbicaraan esok.

Media Baharu