fb fb fb fb fb

Tiga perkara diperjuang demi kebajikan masyarakat India

PETALING JAYA, 17 Januari- Tiga perkara menjadi keutamaan dalam memperjuang kebajikan masyarakat India di negara ini meliputi kemiskinan bandar, kemudahan infrastruktur dan utiliti di kawasan perladangan serta aspek pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia menjadi tumpuan utama beliau dalam membantu masyarakat India sejak dahulu lagi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan, perkara tersebut telah dibincang dan dirancang bersama mendiang Datuk Seri Ramesh Rao yang dilantik sebagai Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India di pejabat Timbalan Perdana Menteri.

“Saya sedang meneliti apa yang beliau rancangkan untuk masyarakat India walaupun telah berbincang dengan saya beberapa kali dan saya telah memberikan persetujuan pada dasarnya.

Tentunya saya akan laksanakan perkara yang telah beliau komited untuk laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Ramesh Rao di kediaman keluarga mendiang di sini.

(Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi)

Ramesh Rao, 52, meninggal dunia di kediamannya di Petaling Jaya pada Sabtu, difahamkan akibat serangan jantung.

Pada 24 Disember lepas, mendiang yang juga Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri yang menjaga kepentingan serta permasalahan masyarakat India.

Media Baharu