KUALA LUMPUR, 17 Januari- Malaysia mewarisi pelbagai undang-undang dari zaman penjajahan British dan perlu disemak semula untuk memastikan ia sesuai dengan perkembangan sains, teknologi dan keperluan semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang & Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya mengadakan pertemuan dengan pihak berkempentingan untuk mengambil kira pandangan dari setiap sudut.
"Malaysia mewarisi pelbagai undang-undang dari zaman penjajahan British seperti Akta Kontrak 1950, Kanun Keseksaan, Akta Keterangan 1950, Akta Undang-undang Sivil 1956, Akta Fitnah 1957," katanya.
Beliau berkata demikian pada Bengkel Reformasi Institusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bersama kementerian, Jabatan, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO), di ibu negara.
Terminologi dalam undang-undang dapat membentuk persepsi umum sekali gus mempengaruhi tingkah laku masyarakat mengenai sesuatu isu.
Jelasnya, jika suatu terminologi perundangan mempunyai konotasi negatif maka ia mungkin menyebabkan stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap komuniti tertentu.
"Cubaan bunuh diri adalah kesalahan jenayah yang diimport oleh penjajah British melalui Kanun Keseksaan India. United Kingdom sudah memansuhkan kesalahan itu pada tahun 1961 namun Seksyen 309 Kanun Keseksaan masih kekal dalam undang-undang kita.
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang & Reformasi Institusi),
Datuk Seri Azalina Othman Said)
"Saya berpendapat hukuman jenayah bukan jawapan kepada masalah kesihatan mental. Oleh itu, saya berkomited untuk menyemak semula seksyen 309 Kanun Keseksaan," katanya.
Walaupun cadangan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori pada sesi parlimen yang akan datang sudah diumumkan, ia bukan bermakna kerajaan tidak memandang serius jenayah berat. Malah, kerajaan mengambil pendekatan yang holistik.
"Kerajaan kini sedang dalam proses menyemak semula keberkesanan sistem pengadilan jenayah termasuk aspek untuk mengurangkan kadar jenayah berulang, pembaharuan sistem penjara dan polisi hukuman berlandaskan keadilan restoratif.
"Pendekatan ini juga sejajar dengan sasaran Jabatan Penjara supaya dua pertiga banduan yang layak akan menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang tahun 2030," katanya.
Sementara itu, tambah beliau, pada era Revolusi Industri 4.0 dan pasca pandemik COVID-19, daya persaingan ekonomi Malaysia perlu dipertingkatkan bukan sahaja dari segi infrastruktur maklumat, tetapi juga kerangka undang-undang.
Oleh itu, beliau berkata Akta Profesion Undang-Undang 1976, Akta Jualan Barang 1957, Akta Kontrak 1950 dan Akta Insolvensi 1967 turut akan disemak semula.