fb fb fb fb fb

Citrawarna Keluarga Malaysia bakal berlangsung 24-27 Februari ini


KUALA LUMPUR, 15 Februari
- 'Temasya Kepelbagaian Budaya' menjadi tema penganjuran program Citrawarna Keluarga Malaysia tahun ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata tema itu diangkat sebagai lambang perpaduan masyarakat majmuk serta mempamerkan keunikan budaya.

Katanya, selaras situasi pandemik, pematuhan SOP amat dititikberatkan dalam penganjuran program itu bagi terus mengekang penularan COVID-19.

"SOP pun telah disusun atur untuk dipatuhi, kita bekerjasama dengan agensi di Sarawak untuk penganjuran Citrawarna kali ini. Kita akan lihat satu projek menjadi kayu pengukur aktiviti-aktiviti lain di tempat lain di negara kita ini," katanya dalam temu bual bersama RTM.

Citrawarna Keluarga Malaysia bakal berlangsung 24 hingga 27 Februari ini di Waterfront, Kuching, Sarawak.

Dalam pada itu, Hari Kraf Kebangsaan diadakan pada 23 Februari hingga 7 Mac di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Nancy turut berkata kejayaan projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik dan Antarabangsa Langkawi memberi inspirasi kepada penganjuran 'Citrawarna Keluarga Malaysia'.

Setakat ini, 720,000 pelancong domestik dan antarabangsa telah berkunjung ke Langkawi.

Jelasnya, penganjuran kedua-dua program tersebut menjadi penanda aras untuk kerajaan membuka semula sempadan negara secara berperingkat.

Bagaimanapun, pelbagai faktor perlu diteliti sebelum Malaysia bersedia membuka pintu sempadan antarabangsa.

"Persempadan negara akan dibuka, mungkin sebelum April ini. Kita nak lihat bagaimana prestasi negara kita, respons dengan aktiviti negara. Langkawi telah menjadi model berjaya dalam negara kita," katanya.

Media Baharu