LABUAN, 19 Julai - Semangat keprihatinan terhadap masyarakat setempat mendapat perhatian daripada pihak swasta, khususnya di Labuan.
Menerusi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), CIMB Bank Berhad Cawangan Luar Pesisir Labuan mengadakan program mengecat semula bot nelayan dan pemeriksaan kesihatan bersama penduduk Kampung Sungai Miri/Sungai Pagar.
Pengurus Besar, Norlela Omar berkata program ini mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sukarelawan pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).
"Pada kami, nelayan dan juga pihak komuniti masyarakat di Labuan adalah penting dan sebagai CIMB yang lama bertapak di Labuan, kami merasai penting untuk kami bersama-sama dengan komuniti di Labuan, sama-sama menjayakan apa-apa (program) dan memberikan sokongan kepada penduduk setempat," kata beliau kepada pemberita pada program yang berlangsung di perkarangan Balai Raya Kg. Sungai Miri/Sungai Pagar di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Sungai Miri/Sungai Pagar, Mahmud Asat menzahirkan penghargaan atas program yang dianjurkan dan keprihatinan pihak swasta dan korporat untuk mendekati serta membantu masyarakat, khususnya golongan B40.
"Dialu-alukan kepada ahli-ahli korporat macam badan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan program-program yang sedemikian di kampung-kampung, (termasuk) mana-mana kampung di seluruh Wilayah Persekutuan Labuan," jelas beliau.