PUTRAJAYA, 19 Julai - Isu gangguan sistem pagar automatik (autogate) untuk pelawat asing di pintu-pintu masuk utama negara sejak semalam berpunca daripada gangguan integrasi data yang menyebabkan proses semakan silang dalam sistem MyIMMS menjadi perlahan.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), memaklumkan gangguan sistem pagar automatik yang digunakan oleh pelawat asing tidak dapat berfungsi buat masa ini.
AKPS dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan gangguan itu menyebabkan kesesakan dan barisan menunggu yang panjang di beberapa lokasi utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1 dan 2 serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.
“AKPS ingin menegaskan sistem pagar automatik bagi pemegang pasport Malaysia tidak terjejas dan masih berfungsi seperti biasa,” menurut kenyataan itu.
AKPS memaklumkan langkah-langkah segera telah diambil bersama Jabatan Imigresen Malaysia untuk mengenal pasti punca sebenar masalah dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.
“Semua kaunter manual telah diaktifkan sepenuhnya dan anggota tambahan dikerahkan untuk menguruskan aliran keluar masuk pelawat serta mengawal barisan menunggu dengan kapasiti terbaik,” menurut kenyataan itu.
AKPS memaklumkan pihaknya sedang giat untuk memulihkan sistem dan melancarkan semula pergerakan di semua pintu masuk negara.-BERNAMA