fb fb fb fb fb

Malaysia-Jepun perkukuh kerjasama pendidikan tinggi

Malaysia dan Jepun mengadakan perbincangan kerjasama dua hala dalam sektor pendidikan tinggi / Foto FB Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR, 19 Julai - Malaysia dan Jepun mengadakan perbincangan kerjasama dua hala dalam sektor pendidikan tinggi, sekali gus membuktikan komitmen memperkukuh hubungan dua negara dalam bidang ilmu serta inovasi ke arah masa depan lebih baik dan berdaya saing.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerusi hantaran Facebook berkata perbincangan berlangsung semasa beliau menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata di pejabatnya di Putrajaya.

“Antara topik dibincangkan termasuklah peningkatan program mobiliti pelajar dan pensyarah antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara serta isu pelajar Malaysia di Jepun dan pelajar Jepun di Malaysia termasuk kebajikan, biasiswa dan peluang kerjaya pascapengajian,” katanya.

1907 NSL ZAMBRY MAS JEPUN 2
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (kiri) mengadakan perbincangan bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata (kanan) / Foto FB Zambry Abd Kadir 

Zambry berkata turut dibincangkan ialah pencapaian penting kerjasama pendidikan tinggi Malaysia dan Jepun termasuk penubuhan University of Tsukuba Malaysia iaitu kampus cawangan luar negara pertama oleh sebuah universiti Jepun.

Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai detik bersejarah menandakan tahap baharu dalam hubungan akademik dua hala dan juga pemantapan peranan Malaysia-Japan Linkage Office yang beroperasi di Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Zambry berkata pertemuan itu sebagai perbincangan awal sebelum beliau bertemu rakan sejawatan dari Jepun di Tokyo pada hujung bulan ini. -BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN