(Chow Kon Yeow dan H'ng Koon Leng)
GEORGE TOWN, 29 Julai- Proses penamaan calon bagi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan N.26 Padang Kota, N.27 Pengkalan Kota dan N.28 Komtar di Dewan Sri Pinang, di sini berjalan lancar.
Pegawai pengurus pilihan raya bagi ketiga-tiga DUN itu mengumumkan masing-masing DUN berkenaan menyaksikan pertandingan satu lawan satu.
N.26 Padang Kota menyaksikan pertembungan antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mewakili Pakatan Harapan (PH) mencabar wakil daripada Perikatan Nasional (PN), H'ng Koon Leng.
N.27 Pengkalan Kota pula menyaksikan pertembungan antara S.Suthakaran daripada PN dan Wong Yue Harng (PH), manakala N.28 Komtar melibatkan Cheah Kim (PN) dan Teh Lai Heng (PH).
Proses penamaan calon bagi kerusi DUN Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti turut melibatkan saingan satu lawan satu.
DUN N.10 Seberang Jaya akan ditandingi wakil PH iaitu Johari Kassim yang akan berdepan calon PN, Izhar Shah Ariff Shah, anak kepada bekas Adun Seberang Jaya, suatu ketika dulu.
Bagi kerusi DUN N.11 Permatang Pasir menyaksikan penyandangnya, Muhammad Faiz Fadzil (PH) yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bertembung calon PN iaitu Amir Hamzah.
DUN N.12 Penanti pula diwakili Zulkifli Bakar (PN) yang akan berdepan Roshidi Hussin (PH).
Proses penamaan calon berjalan lancar dengan kehadiran Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin yang memerhati setiap pergerakan proses itu.
Sementara itu, DUN N0.2 Bertam menyaksikan persaingan sengit satu lawan satu antara Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai calon Barisan Nasional (BN) dan calon PN, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.
Kedua-dua mereka mempunyai kekuatan tersendiri berikutan Reezal sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas selepas berjaya menewaskan lawannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Khaliq Mehtab yang merupakan bekas ADUN Bertam juga berjaya menewaskan lawannya pada PRU-14.
Dalam pada itu, DUN N.01 Penaga menyaksikan satu lawan satu antara Ustaz Mohd Naim Saleh (BN) dan Ustaz Mohd Yusni Mat Piah (PN), manakala bagi N.03 Pinang Tunggal turut pertembungan antara Zainuddin Mohd (PH) dan Bukhori Ghazali (PN).
(Chow Kon Yeow dan H'ng Koon Leng)