(Anggota polis mengawal di sekitar Pusat Penamaan Calon bagi DUN N13 Kuang, N14 Rawang dan N15 Taman
Templer di Pejabat Majlis Perbandaran Selayang hari ini/ BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 29 Julai - Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN ke-15) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu berjalan lancar dan terkawal.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata menerusi pemantauan ke atas 173 pusat penamaan calon juga mendapati tiada sebarang provokasi dilaporkan daripada penyokong parti-parti politik serta individu yang bertanding.
“PDRM juga membuat tinjauan menggunakan dron di enam negeri terlibat dan hasil penelitian saya dari Pusat Gerakan Bukit Aman mendapati proses penamaan berjalan dengan baik. Dron-dron itu juga akan digunakan untuk memantau perjalananpada hari mengundi nanti,” katanya.
(Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain/ BERNAMA)
PRN yang bermula hari ini melibatkan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) dengan hari pengundian ditetapkan pada 12 Ogos, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
Turut diadakan serentak adalah pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.
Di Selangor, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata proses penamaan calon di kesemua 35 pusat penamaan calon adalah baik dan mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Pengundi yang bakal mengundi awal pada 8 Ogos ini dan mengundi pada 12 Ogos dinasihatkan agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan daripada sebarang tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Di Terengganu, Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata 2,468 pegawai dan anggota telah digerakkan bagi memastikan keselamatan di 32 pusat penamaan calon selain kelancaran lalu lintas di negeri itu.
“Semua parti politik dilihat patuh kepada arahan dan peraturan polis serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Saya lihat semuanya lancar dan mereka juga berpuas hati dengan tempat berkumpul yang berjarak 50 meter dari Pusat Penamaan Calon dan tiada aduan diterima setakat ini,” katanya.
Mazli berkata pihaknya juga akan memberi tumpuan lebih di tiga “lokasi panas” iaitu di Batu Enam, Wakaf Mempelam dan Kampung Buloh.
Sementara itu, di Pulau Pinang, Ketua Polis Negeri Datuk Khaw Kok Chin berkata keadaan sama turut dilaporkan di 23 pusat penamaan di negeri itu tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Di Kedah pula, kelihatan anggota polis mengawal di sekitar Pusat Penamaan Calon (PCC) di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, Jalan Stadium Alor Setar dan Pejabat Daerah dan Tanah, Pokok Sena.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh turut serta dalam meninjau proses penamaan calon di kedua-dua lokasi.