fb fb fb fb fb

Chester Voo tamat perkhidmatan di CAAM hujung tahun ini

KUALA LUMPUR, 15 Disember - Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Chester Voo bakal menamatkan perkhidmatannya pada 31 Disember ini.

Pengerusi CAAM Tan Sri Mohd Khairul Adib Abdul Rahman berkata Voo telah meluahkan hasratnya untuk memendekkan tempoh perkhidmatan pada Oktober lepas, namun pihak CAAM memohon penangguhan bagi membolehkan proses peralihan dan penyerahan tugas kepada pengganti jawatan berkenaan dapat dilaksanakan.

"Penangguhan ini bagi membolehkan CAAM melaksanakan proses peralihan dan penyerahan tugas kepada pengganti jawatan berkenaan.

"Perkara ini telah dipersetujui dan beliau serta pihak pengurusan CAAM telah menyediakan pelan strategik 2023 yang lengkap buat CAAM bagi memastikan proses kesinambungan yang positif.

"Kapten Chester telah mengemukakan surat peletakan jawatannya dan telah diterima oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, di mana hari terakhir perkhidmatan beliau adalah pada 31 Disember 2022," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, Mohd Khairul berkata CAAM akan meneruskan momentum yang telah membantu beberapa kejayaan dikecapi pihak berkuasa itu di bawah kepimpinan Voo termasuk mengembalikan semula status Kategori 1 bagi Penarafan Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) oleh Federal Aviation Administration (FAA) Amerika Syarikat.

Menurut kenyataan itu lagi, CAAM yakin dan positif dengan transformasi yang dilaksanakan oleh organisasi itu dalam tempoh dua tahun setengah yang lalu.

"Beliau telah membawa CAAM ke landasan yang betul untuk melaksanakan peranan utamanya dalam mengawasi dan mempromosikan aspek keselamatan industri penerbangan negara serta menyediakan perkhidmatan navigasi udara bertaraf antarabangsa," katanya lagi.

Menurutnya, CAAM turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Voo atas dedikasi, kesungguhan, kerja keras dan sumbangan besar yang telah beliau lakukan sepanjang berkhidmat.

Media Baharu