fb fb fb fb fb

CEO KDA FC mohon semua penyokong bersabar isu jurulatih baharu

(Foto Kedah Darul Aman FC)

ALOR SETAR, 25 Oktober- Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman (KDA) FC, Khamal Idris Ali masih enggan mengulas lanjut desas-desus Jurulatih Terengganu FC Nafuzi Zain bakal mengendalikan kelab itu musim depan.

Sebaliknya, beliau meminta semua pihak bertenang dan segalanya akan dimuktamadkan apabila tiba waktu yang sesuai.

"Untuk waktu ini kita tak nak kata apa. Biarlah benda ini apabila sampai waktunya kita akan maklum.

"Kita nak hormati dia yang masih bersama Terengganu FC”, katanya.

Desas desus pengendali Sang Penyu itu bakal bergabung dengan Sang Kenari bertiup kencang selepas jurulatih terdahulu, Aidil Sharin Sahak tidak lagi bersama Hijau Kuning.

Khamal Idris Ali ditemui media selepas pelancaran Rumah Sang Kenari 1924 di Alor Setar yang turut dihadiri bekas Ketua Jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah serta Pengarah Urusan Rumah Sang Kenari 1924, Mohd Hazriq Fahimy Abdullah.

Pengerusi Kelab Legasi Kedah, Mohamad Hazriq Fahimy Abdullah mendedahkan penubuhan Rumah Sang Kenari 1924  merupakan sebuah hub yang berperanan sebagai pusat aktiviti mereka.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Rumah Sang Kenari  memaklumkan antara aktiviti utama adalah menjadi medan pusat berkumpul bagi penyokong menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung khususnya yang melibatkan pasukan Kedah Darul Aman FC dan lain-lain perlawanan dalam atau luar negara.

Bekas Ketua Jurulatih Kedah Azraai Khor Abdullah yang juga merupakan penaung hub itu menyambut baik penubuhan Rumah Sang Kenari kerana ia menyediakan pelbagai kemudahan antaranya bar sukan, tempat sehenti penyokong, restoran serta penjualan barangan ‘merchandise’ Sang Kenari Sdn. Bhd. dan KDA FC.

Pada masa yang sama menjadi Rumah Kelab Komuniti KDA FC untuk aktiviti pada hari perlawanan.

Kerjasama antara KDA FC dengan usaha dari kelab penyokong ini merintis jambatan untuk banyak lagi peluang perniagaan bersama Komuniti di Kedah.

Rumah Kelab itu akan turut menjual barangan cenderahati dan tiket perlawanan melibatkan pasukan Sang Kenari.


(Foto Kedah Darul Aman FC)

Media Baharu