fb fb fb fb fb

Calon SPM positif COVID-19 atau dikuarantin diberi tarikh baharu duduki peperiksaan - Radzi

PUTRAJAYA, 18 Februari - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang disahkan positif COVID-19 atau dalam tempoh kuarantin tidak perlu menduduki kertas peperiksaan pada tarikh ia diadakan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata calon berkenaan akan menduduki peperiksaan SPM pada tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

"Sebenarnya dalam pelaksanaan SPM untuk kohort 2020 kita dah ada SOP lengkap, kalau calon tu positif kena dikuarantinkan maka mereka ini tidak perlu menduduki peperiksaan tetapi akan mendudukinya pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"Bagi calon yang sedang menduduki peperiksaan, namun pihak sekolah baru mendapat maklumat yang individu itu positif, calon itu akan diletakkan dalam bilik khas yang disediakan di sekolah berkenaan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Yayasan Didik Negara di sini.

Tambahnya, Bagi calon SPM yang menjadi kontak rapat dan perlu dikuarantin juga tidak perlu hadir ke tempat peperiksaan.

Bagaimanapun calon perlu mengemukakan pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Media Baharu