fb fb fb fb fb

Cadangan tambah depoh bencana dibawa ke kabinet, MTPNg - Nik Nazmi

Cadangan untuk menambah depoh simpanan keperluan bencana di Kelantan akan dibawa ke mesyuarat kabinet dan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) / Foto Hiasan / Bernama

KOTA BAHRU, 4 Disember – Cadangan untuk menambah depoh simpanan keperluan bencana di Kelantan akan dibawa ke mesyuarat kabinet dan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg).

Menteri Alam Sekitar dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan memahami kesan teruk yang dialami negeri itu akibat bencana banjir yang sedang melanda.

Katanya, cadangan tersebut akan dibincangkan bagi memastikan Kelantan mendapat lebih banyak infrastruktur yang dapat membantu menghadapi situasi kecemasan, termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

"Perkara ini saya akan bawa ke kabinet dan MTPNg. Kita tahu Kelantan teruk terkesan. Jika dapat infrastruktur lebih banyak, ia boleh bantu kecemasan," katanya selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Seri Ketereh, di sini.

Dalam taklimat oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Bharu, Azizah Zakaria, beliau mencadangkan agar depoh simpanan keperluan bencana ditambah mengikut zon.

Ketika ini, JKM Kelantan hanya memiliki satu depoh yang menempatkan pelbagai barangan keperluan untuk diagih ke PPS terlibat semasa banjir.

Situasi ini menimbulkan masalah, terutamanya di kawasan terpencil seperti Gua Musang dan Kuala Krai, yang lebih sukar dijangkau apabila laluan utama dinaiki air.

Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi yang juga Pengerusi Bersama MTPNg Kelantan turut menekankan keperluan memastikan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dilaksanakan dengan teliti.

Ini kerana projek bernilai tinggi itu harus mengambil kira keperluan penduduk terjejas dan menyediakan penyelesaian jangka panjang.

“JPS telah melakukan beberapa penyesuaian berdasarkan aduan penduduk, tetapi kita perlu seimbangkan keperluan mengatasi banjir masa depan,” katanya.

Berhubung limpahan air Sungai Golok dari Thailand ke Malaysia, beliau memaklumkan bahawa perbincangan dengan pihak negara jiran akan diadakan bagi mencari langkah penyelesaian bersama.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN