PUTRAJAYA, 4 Disember – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan program misi penghantaran bantuan banjir Skuad Ihsan MADANI - SATRIA Rakan Muda KBS bagi membantu penduduk di kawasan terjejas banjir.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata penghantaran siri pertama melibatkan 30 sukarelawan, satu lori, dan enam kenderaan yang akan membawa bantuan ke Terengganu.
Bantuan tersebut merangkumi makanan, keperluan harian, kit pembersihan, serta alat pembersihan untuk meringankan beban penduduk yang terjejas dengan musibah banjir.
“Kami telah menyelaraskan bantuan bersama Majlis Belia Malaysia (MBM). MBM akan menghantar barangan keperluan ke Kelantan, manakala KBS akan ke Terengganu.
"Sempena Hari Kesukarelawanan Belia yang akan datang, kami juga sedang merekrut sukarelawan belia bersama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) untuk membantu penduduk yang terjejas banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelepasan misi bantuan tersebut, di sini.
Hannah turut menggesa orang ramai, khususnya belia, untuk mendaftar sebagai sukarelawan pascabanjir SATRIA KBS bagi menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti.