PUTRAJAYA, 19 Mei- Kerajaan dicadang untuk merancakkan semula pelaksanaan Kempen 'Buy Malaysia First' bagi membantu pemain industri tempatan yang tidak dapat menjalankan aktiviti perdagangan di sesetengah negara akibat halangan bukan tarif (Non-Tariff Barrier).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan itu antara yang dikemukakan kepadanya menerusi sesi dialog bersama pemain industri agrokomoditi di Putrajaya, semalam.
"Kalau kita nak mengeksport ke negara-negara lain, ada "Non-Tariff Barrier" yang diperkenalkan tetapi di Malaysia, kita tidak memperkenalkan banyak perkara. Banyak perkara yang bebas masuk ke negara kita.
Jadi, mereka juga memohon supaya kita boleh memberi penekanan semula terhadap "Buy Malaysia First". Selain itu, bagaimana kita dapat melihat semula produk-produk negara kita sendiri dalam negara kita sendiri. Itu antara maklumat yang dikongsi oleh pemain industri sendiri," kata Fadillah kepada pemberita dalam sidang media, di sini.
(Foto FB Timbalan Perdana Menteri)
Tambahnya, kementerian akan menggunakan maklumat-maklumat yang dikumpul dalam sesi dialog tersebut untuk membantu kementerian menetapkan keutamaan dalam sektor tersebut bagi belanjawan tahun 2024.
Sesi dialog yang julung kali diadakan itu mengumpulkan 250 pemain industri agrokomoditi seluruh negara.
Terdapat 55 isu dan cadangan wakil industri akan dipertimbangkan dan diperhalusi kementerian dalam masa terdekat agar isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan secara holistik.