KUALA LUMPUR, 19 Mei- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyentuh isu sensitif membabitkan 3R iaitu bangsa, agama dan institut diraja.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata tindakan dan siasatan akan dijalankan Pasukan Siasatan Khas yang diwujudkan sejak Mac lalu.
"Kita akan ambil tindakan yang pantas untuk menyiasat, memastikan pelakunya dikesan dan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Ini adalah untuk memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara kita akan sentiasa terpelihara serta demi kesejahteraan negara," kata Acryl Sani kepada pemberita ketika ditemui media selepas Majlis Hi-Tea Bersama Media di Bukit Aman.
(FOTO BERNAMA)
Ia bagi memastikan hantaran yang menyentuh isu 3R , khususnya yang ditularkan di media sosial dapat dihindari.
Tambahnya, sebanyak 18 kertas siasatan dibuka membabitkan kes 3R bermula Mac hingga bulan ini.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.