fb fb fb fb fb

Cabaran Penyelidikan Belia Terbesar, UPTM cipta rekod MBOR

Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) mencatat sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) melalui penganjuran Cabaran Pembentangan Penyelidikan Belia Terbesar Pertama di Malaysia/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 November – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) mencatat sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) melalui penganjuran Cabaran Pembentangan Penyelidikan Belia Terbesar Pertama di Malaysia, dikenali sebagai The United Sustainable Development Goals Challenge.

Naib Canselor UPTM, Profesor Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Shiekh berkata cabaran itu menghimpunkan 500 pelajar dari pelbagai fakulti untuk membentangkan idea penyelidikan inovatif mereka secara serentak dalam satu acara berskala besar.

Beliau menjelaskan, program berkenaan adalah sebahagian usaha UPTM memacu inovasi belia ke arah pembangunan mampan, dengan menggabungkan elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

1411 UPTM x MBOR 2Naib Canselor UPTM, Profesor Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Shiekh/BERNAMA

“SDG mempunyai 17 sasaran antarabangsa yang membuka peluang luas kepada penyelidikan dan inovasi. Fokus kami kepada SDG kerana ia merupakan Global Goals, dan UPTM mahu menyumbang kepakaran serta tenaga dalam menambah baik 17 sasaran berkenaan. Kami mahu memastikan para belia dan mahasiswa memiliki rasa tanggungjawab terhadap SDG ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program cabaran berkenaan yang turut menyaksikan penyampaian pengiktirafan MBOR di ibu negara.

Sementara itu, Perunding Rekod MBOR, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah berharap penyelidikan yang dibentangkan 500 peserta itu dapat dikembangkan kepada kajian lebih mendalam, sekali gus memberi impak kepada pembangunan ilmu dan negara.

“Kajian berdasarkan SDG ini bermula sebagai pernyataan masalah dan harapan kami ia dapat diterjemahkan kepada kajian menyeluruh serta tindakan atau program sebenar. "Dengan itu, usaha ini boleh diperluas ke skala lebih besar dan menjadi kesinambungan rekod MBOR seterusnya untuk UPTM,” katanya.

Cabaran tersebut berlangsung dalam 21 sesi selari, dengan setiap peserta diberikan tiga minit untuk membentangkan idea penyelidikan. Setiap sesi dipantau moderator, dirakam melalui video, dan kehadiran peserta disahkan secara digital menggunakan kod QR bagi memastikan ketelusan rekod.

Program ini bukan sahaja membantu membina kemahiran penyelidikan generasi muda, malah memperkukuh kerjasama antara akademia, industri dan pembuat dasar, selain menghasilkan 500 e-poster penyelidikan sebagai dokumentasi rasmi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN