PUTRAJAYA, 14 November -Kerajaan Persekutuan akan memulakan rundingan pertama dengan Kerajaan Sabah pada Isnin depan, berhubung isu tuntutan hak 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari negeri itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, persetujuan bagi memulakan rundingan tersebut dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Beliau berkata, rundingan itu akan dimulakan dengan mesyuarat peringkat pegawai diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Seri Safar Utong.
"Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut memutuskan bahawa rundingan teknikal antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah akan dimulakan dengan segera bagi melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
"Mesyuarat yang pertama di peringkat pegawai di antara wakil Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah akan diadakan di Menara Kinabalu, Sabah,” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi, di sini.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju secara prinsip untuk menukar wakil Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan memaklumkan bahawa Datuk Armizan dilantik menggantikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick sebagai wakil Sabah dalam jawatankuasa tersebut.