KUALA LUMPUR, 25 Mac- Polis Diraja Malaysia (PDRM) cadang menubuhkan sebuah jabatan baharu yang berteraskan teknologi siber, seiring dengan kemajuan kepolisan moden.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata ia sebagai usaha mempersiap badan keselamatan negara itu dalam mengekang jenayah digital dan kepesatan teknologi yang pesat membangun.
"Ke arah itu, PDRM berhasrat untuk menubuhkan sebuah jabatan baharu yang berteraskan teknologi siber dengan memberi fokus kepada cabaran jenayah digital dan teknologi yang semakin kompleks. Semoga sudilah kiranya, hasrat murni ini dapat dipertimbangkan oleh pihak kerajaan," kata Tan Sri Razarudin ketika berucapa pada Majlis Sambutan Hari Polis Ke-217, hari ini di ibu negara.
Tambahnya, sepanjang tahun 2023, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersil PDRM telah menjalankan 18,221 operasi dan berjaya memberkas 22,991 individu atas pelbagai kesalahan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap insentif kerajaan yang diterima sebanyak RM143.7 juta bagi menyelenggara kuarters polis dan pos kawalan keselamatan sempadan PGA serta peralatan pos.
"PDRM turut menghargai peruntukan dan insentif yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri menerusi Belanjawan 2024 yang sesungguhnya memberi manfaat besar kepada seluruh warga pasukan khususnya dalam menjaga kebajikan serta meningkatkan keselesaan dalam bekerja," tambah Razarudin.