KUALA LUMPUR, 25 Mac- Tiada keperluan untuk melaksanakan Cukai Kekosongan Hartanah.
Jelas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, ia didorong pertumbuhan aktiviti pasaran harta tanah yang mencatat peningkatan 22.6 peratus berdasarkan laporan Pasaran Harta Suku Ketiga 2023.
Beliau optimis, tindakan intervensi yang dilaksanakan dalam pasaran perumahan ketika ini memadai untuk mengatasi isu hartanah kediaman tidak terjual.
"Kerajaan berpandangan tindakan intervensi adalah memadai, ini disokong oleh data daripada Laporan Pasaran Harta Suku Ketiga 2023 yang dikeluarkan oleh NAPIC. NAPIC menyatakan bahawa aktiviti pasaran harta tanah menunjukkan pertumbuhan 22.6% pada nilai di mana prestasi aktiviti pasaran sektor kediaman menunjukkan peningkatan sebanyak 5.6% berbanding tempoh yang sama tahun terdahulu."
"Kerajaan juga berpandangan bahawa buat masa ini masih belum wujud keperluan untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan Cukai Kekosongan Hartanah ini," kata Aiman di Parlimen, hari ini.
Penyataan itu bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Datuk Low Kian Chuan.
Antara langkah intervensi yang sedang dilaksana termasuklah, pemetaan harga Rumah Mampu Milik (RMM) berdasarkan pendapatan median mengikut negeri dan daerah serta pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan di pihak pemaju sebelum memulakan pembangunan.
Sementara itu, sejumlah 117 projek meliputi 30,840 unit rumah terbengkalai, melibatkan 16,279 pembeli perumahan swasta, setakat 31 Januari, tahun ini.
Daripada jumlah itu, projek perumahan di bawah julat harga RM300,000 ke bawah merekodkan lebih 23,000 unit rumah.
13 projek bagi julat harga antara RM301,000 sehingga RM500,000 mencatat jumlah kedua tertinggi bagi projek perumahan swasta terbengkalai.