fb fb fb fb fb

Cabaran baru tugas jururawat

JOHOR BAHRU, 12 Mei - Tanggungjawab merawat pesakit COVID-19 dianggap sebagai cabaran baharu jururawat yang terpaksa berhadapan dengan tugas dan bertungkus lumus mengharungi pandemik COVID-19.

Hari ini, sambutan Hari Jururawat Sedunia melakar sejarah setelah dua tahun tidak disambut berikutan pandemik yang melanda negara.

Bagi dua jururawat di Hospital Pakar KPJ Johor, pengalaman dalam mengharungi pandemik memaksa mereka mengubah masa bekerja, cuti rehat dan berkorban masa dengan keluarga.

(Jururawat lelaki turut diperlukan bagi membantu jururawat wanita ketika situasi mencabar)

"Cabaran macam sekarang COVID-19 itu pun satu cabaran yang baru. Kita kena mengatasi dan belajar cara-cara dari segi Prosedur Operasi Standard (SOP) kita merawat pesakit dengan memakai PPE. Jadi itu semua cabaran yang baharu dalam perjalanan sebagai jururawat untuk saya," kata Ketua Unit Rawatan Rapi (HDU), Lee Soo Hwee.

"Buang stigma masyarakat jururawat lelaki ni lembut sebenarnya tidak. Sebenarnya kerjaya jururawat tidak khusus untuk perempuan sahaja, untuk lelaki juga, sebab zaman sekarang banyak dengan situasi COVID-19 ni dan memerlukan tenaga kerja yang kuat dan kerja teknikal, jadi lelaki sangat diperlukan dalam sektor kesihatan," kata Ketua Unit Endoskopi, Mohamad Faisal Sulaiman.

Hari Jururawat disambut di seluruh dunia sebagai mengenang jasa golongan itu yang sanggup berkorban masa, tenaga dan bertungkus lumus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Media Baharu