fb fb fb fb fb

Jejas kestabilan tenaga serantau, Anwar gesa dunia desak Israel hentikan serangan

FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 16 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kuasa-kuasa besar dunia termasuk negara Eropah dan Amerika Syarikat agar bertindak tegas mendesak Israel menghentikan serangan ke atas negara jiran.

Tegasnya, konflik yang semakin memuncak antara Iran dan Israel berpotensi menjejaskan kestabilan tenaga serantau serta keselamatan bekalan global.

“Bagaimana satu negara boleh bertindak secara biadab dan ganas menyerang enam, tujuh negara jiran? Sebab itu kita faham mengapa Iran terpaksa bertindak balas demi mempertahankan kedaulatan negara mereka,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, Malaysia konsisten menyeru agar keamanan segera dicapai di Asia Barat bagi mengelakkan konflik berlarutan yang boleh menjejaskan ekonomi dan kestabilan tenaga global.

“Kita menggesa negara-negara Eropah dan Amerika agar bekerjasama mendesak Israel menghentikan serangan dan dengan itu Iran juga menghentikan segala serangan balas,” ujarnya.

Dalam pada itu, isu ketegangan di Asia Barat turut dibangkitkan dalam konteks keselamatan tenaga ketika beliau menyentuh aliran bekalan dari Teluk.

Jelasnya, walaupun laluan tenaga utama masih terbuka buat masa ini, kebimbangan tetap wujud dalam kalangan syarikat tenaga antarabangsa terhadap kemungkinan gangguan bekalan.

Namun, Malaysia kekal komited untuk terus memacu agenda membina hab tenaga serantau menerusi keyakinan pelabur asing, termasuk beberapa perjanjian strategik yang dijangka dimeterai sepanjang persidangan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE