KUALA LUMPUR, 1 April-Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melarang penggunaan dron di kawasan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
CAAM dalam kenyataan memaklumkan larangan berkenaan bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menjejaskan keselamatan orang ramai serta operasi penyelamat.
"Larangan ini bertujuan memastikan keselamatan dan sekuriti pasukan penyelamat yang sedang menjalankan operasi pemantauan udara di lokasi kejadian.
"Tambahan pula, kawasan tersebut merupakan laluan kritikal bagi penerbangan komersial dan keselamatan pesawat yang beroperasi harus diutamakan", menurut kenyataan tersebut.
CAAM turut mengingatkan bahawa sebarang aktiviti penerbangan, termasuk pengendalian dron yang boleh membahayakan orang awam atau harta benda, tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), serta Peraturan 98, Peraturan 140-144 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Civil Aviation Directives (CADs).
Orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi peraturan ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang serta memastikan operasi pemadaman dan keselamatan di kawasan kejadian tidak terganggu.